Dia kata aku boleh dapat cinta siapa saja yang aku mahu, pilih saja mana-mana jejaka dalam dunia sekalipun. Aku tertawa kecil. Lucu.
"Saya tak dapat awak, macam mana tu?" soal aku sambil tertawa lagi.
Dia tersenyum. Cuma tersenyum. Untuk seketika, aku senang melihat senyumannya. Untuk seketika, semuanya masih terasa seperti dulu. Angin lembut yang menyapa, taman yang sama. Indah.
"Jaga diri, saya tahu semuanya akan baik-baik saja..", dan aku rebah kembali, diheret kasar oleh realiti. Sekuat tenaga aku ukir senyum untuknya.
"Awak gembira?", dia angguk perlahan. "Kalau macam tu, saya pun gembira!".
Aku hadiahkan lagi sisa senyum yang ada.
Lalu, perlahan aku melangkah pergi meninggalkan dia, satu-satunya lelaki yang akan aku lakukan apa saja demi kebahagiannya. Biar, biar kali ini aku yang meninggalkannya. Untuk melihat dia pergi sekali lagi, itu sesuatu yang bukan dalam kesanggupan aku lagi. Jadi, biar. Biar aku yang pergi. Aku seka air mata yang mula laju mengalir di pipi. Dia tak perlu melihat aku begini. Bukankah dia percaya yang semuanya akan baik-baik saja? Jadi, aku cuma perlu percaya. Ya, percaya yang semuanya memang akan baik-baik saja.
Berbahagialah, cinta. Maka, itu kebahagian buatku juga..
No comments:
Post a Comment